Saturday, February 4, 2012

Rasulullah SAW Bersama Orang-Orang Fakir

Marilah kita mengimbau kembali di dalam peristiwa Israk dan Mikraj, sudah pastinya kita mengingati perjalanan Rasulullah SAW sehingga melintasi 'sidrotulmuntaha' yang ditemani oleh Jibril as. Kemuncaknya Nabi SAW telah dianugerahkan oleh Allah SWT solat 5 waktu.

Namun suatu perkara yang menarik untuk kita halusi ialah ketika Baginda Rasulullah SAW bersama-sama Jibril as menziarahi Syurga dan Neraka. Apakah yang Baginda Rasulullah SAW perhatikan? Daripada bin Husain ra bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Aku melihat di dalam syurga, maka aku dapati kebanyakan penghuninya terdiri daripada kalangan orang fakir miskin dan apabila aku melihat di dalam neraka maka aku dapati kebanyakan penghuninya terdiri daripada golongan perempuan"

(Riwayat Imam Bukhari)


Adakah Islam begitu memuliakan orang fakir dan miskin sehingga di dunia kita meti memilih untuk menjadi orang miskin dengan menjauhi kekayaan dan kebendaan? Bukankah Islam juga menyeru kepada kita supaya mencari kenikmatan dunia? Marilah kita rujuk Firman Allah SWT:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)".

(Surah Jumu'ah: Ayat 10)

Hakikatnya tiada percanggahan sama sekali jika memahami akan hadis di atas dengan baik. Sudah tentu ada sesuatu yang kita perlu pelajari. Maka siapakah yang dimaksudkan dengan orang 'miskin' itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Orang miskin itu bukanlah mereka yang berkeliling meminta-minta kepada orang lain supaya diberi sesuap atau dua suap dan sebutir dua tamar". Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, kalau begitu siapa yang dimaksudkan miskin itu?. Baginda bersabda "Mereka ialah dari golongan orang yang hidup tidak berkecukupan, tiada kemahiran lalu mereka diberi sedekah dan mereka tidak mahu meminta-minta kepada orang lain"

(Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Mengasihi orang miskin ialah dengan menberikan bantuan dan kelapangan yang ada pada kita, memberi kata-kata semangat, menghilangkan keresahan di dalam jiwa mereka dan mengingatkan mereka bahawa kesabaran menanggung kemiskinan diberi ganjaran 'syurga' di sisi Allah SWT. Manakala di pihak orang yang memberi pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

"Barang siapa yang menghilangkan satu kesusahan dari seorang mukmin, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari akhirat, dan barang siapa yang memudahkan kesulitan orang menanggungnya, maka Allah akan memudahkan atasnya di dunia dan akhirat".

Rasulullah SAW selalu berkumpul bersama-sama orang miskin dan baginda sering berdoa kepada sabda Baginda yang bermaksud:

"Ya Allah, hidupkanlah aku di dalam miskin, matikanlah aku di dalam miskin dan kumpulkanlah aku bersama-sama golongan miskin"

Inilah doa yang sering baginda ucapkan agar Allah SWT memberikan sifat 'tawaddhuk' dan rendah hati supaya tidak tergolong di dalam orang yang sombong lagi zalim dan melampaui batas.


Orang-orang miskin yang masuk syurga adalah mereka yang mentauhidkan Allah dan menjauhi perbuatan 'syirik', taat kepadaNya, melaksanakan 'sunnah' dan menjauhi semua larangan Allah. Manakala orang kaya lambat masuk ke syurga adalah disebabkan semua harta yang diamanahkan kepadanya semasa hidup didunia akan diadili dan dipertanggungjawabkan. Oleh itu, kemiskinan bukanlah penghalang untuk mendapat keredhaan Allah SWT, malah Rasulullah SAW sentiasa mendampingi golongan fakir dan miskin. Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan fakir dan miskin seperti berzakat, selalu bersedekah, meringankan beban mereka dengan memberikan kata-kata perangsang dan nasihat, agar mereka sentiasa bersabar dan meyakinkan mereka bahawa 'redha' Allah sentiasa menanti seandainya mereka redha dengan ketentuanNya.


Firman Allah:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ


(Surah At-Tawbah Ayat 60)

Maksudnya: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Daripada huraian di atas maka dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa orang fakir dan miskin yang sentiasa beriman kepada Allah SWT akan tetap masuk syurga Allah.

Manakala orang kaya akan lambat masuk syurga disebabkan perolehan kekayaan mereka akan dipertanggungjawabkan terlebih dahulu sebelum mereka layak atau tidak untuk masuk ke dalam syurga. Oleh itu janganlah memandang rendah di kalangan orang-orang yang lebih rendah kedudukannya. Selagi kita Islam dan 'mukmin' maka seluruh ummat Muhammad adalah bersaudara dan sesama ummat hendaklah hormat-menghormati dengan menjauhi sifat dengki-mendengki. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".

Wallahu'aklam.

00000000000000

No comments: